TANJUNG KARANG - Sikap Pakatan Harapan (Harapan) yang tidak mahu menerima kesalahan dalam isu tanah di Ijok dan terus menyalahkan BN hanya akan merugikan nasib peneroka.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, BN hanya mahu penjelasan kerajaan negeri terhadap isu pembelaan nasib peneroka yang jelas berat sebelah.

Beliau turut mempersoalkan tindakan menyerahkan semula projek kepada pemaju walaupun kerajaan negeri mendakwa syarikat itu kroni BN.

“Jika benar mengapa kerajaan negeri boleh pula serahkan semula projek kepada syarikat tersebut walaupun prestasinya gagal?

“Perangai Harapan ini tak pernah nak terima kesalahan sendiri, selalu menyalahkan BN,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Sungai Burong dan Surau As Sakinah yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Marpuaton Sastero, hari ini.

Mengulas lanjut,  Noh berkata, Harapan yang memegang tampuk pentadbiran Selangor sewajarnya menyelesaikan isu ini dan tidak menuding jari mengaitkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Sebelum Harapan memerintah, isu tanah di Ijok memang dalam perhatian pentadbiran BN ketika itu namun bila hilang kuasa, banyak yang dirancang tidak dapat dilaksanakan.

“Jangan cakap ini kes warisan BN sedangkan mereka yang ada kuasa ketika ini sendiri gagal nak selesaikan isu ni.

“Bahkan pendekatan Tan Sri Khalid yang mahu membela peneroka dengan menilai tanah mengikut pasaran ketika itu pun tak kesampaian sebab dijatuhkan dengan licik melalui Langkah Kajang,” katanya.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, beliau kesal apabila peneroka masih tidak dibayar pampasan penalti lewat.

“Pampasan pun dibayar ikut perjanjian lama sedangkan kalau dianggarkan, pampasan peneroka ini  mengikut harga pasaran dan penalti sekali nilainya boleh mencecah RM1 juta.

“Saya sendiri ada pengalaman jadi peguam dan lihat perjanjian baharu yang kena ditandatangani itu lebih memihak kepada pemaju sedangkan nilai satu ekar tanah sekarang ni boleh mencecah RM500,000.

“Kenapa kerajaan negeri nak tipu rakyat? Saya dengar banyak rungutan peneroka terhadap tapak yang berubah tempat, selain itu ada juga saiz rumah tak sama dan penilaian tanah tak ikut harga semasa,” katanya.