SHAH ALAM - BN mengharapkan Belanjawan 2018 Selangor yang akan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali benar-benar sebuah bajet inisiatif kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, bajet negeri yang akan dibentangkan esok itu diharap sebuah bajet inisiatif yang benar-benar menyumbang kepada angka sebenar pertumbuhan ekonomi Selangor.

“Kita tak mahu mereka (Pakatan Harapan) menjerit-jerit mengatakan mereka menyumbang 21 peratus perkembangan ekonomi dan kepada pendapatan negara tapi sebenarnya semua bentuk yang menyumbang kepada perkembangan itu adalah hasil inisiatif daripada kerajaan pusat.

“Saya menjangkakan sumbangan mereka hanya kira-kira lima peratus saja, selebihnya merupakan inisiatif kerajaan pusat...macam dia (Azmin) kata dia bawak masuk Ikea tu, dia cuma sediakan tempat sedangkan usaha itu dilakukan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan kerajaan  pusat.

“Kita tak mahu mereka menumpang ‘toi’ dalam perkara ini dan berbangga dengan perkembangan ekonomi yang besar tapi sebenarnya sumbangan sebenar kerajaan negeri hanya lima peratus sahaja,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media, petang tadi.

Mat Nadzari yang juga Adun Batang Kali berkata, jika kerajaan negeri berterusan dengan pendirian seperti itu, ia merupakan satu pembohongan kepada rakyat dan mengelirukan rakyat.

Justeru, katanya, BN Selangor mahu melihat  bajet kali ini benar-benar inisiatif kerajaan negeri sendiri memandangkan rizab negeri juga dilihat tidak mempunyai lonjakan sejak mentadbir kerajaan negeri.

Beliau turut membandingkan lonjakan rizab Sarawak yang melonjak kepada berbelas bilion sedangkan rizab Selangor pula dilihat statik pada kadar RM1 hingga RM1.5 bilion.

“Sedangkan mereka mentadbir sebuah negeri yang bertaraf negeri maju sejak 2005 dengan asas pembangunan yang mantap dan utuh, malah pada ketika itu angka keluaran dalam negara kasar (GDP) Selangor adalah tinggi.

“Semua asas kita dah bagi, namun lonjakan (rizab) itu statik bahkan pendapatannya pun sekitar RM2 hingga RM3.5 bilion tak pernah berkembang, jadi mana inisiatif mereka dalam bantu kemakmuran dan kesejahateraan rakyat?

“Bagi saya ia perkembangan yang statik, jadi jika bajet yang akan dibentangkan tak menjurus kepada perkembangan ekonomi pada kali ini, saya anggap ia merupakan bajet lolipop, bajet yang gula-gulakan rakyat Selangor,” katanya.