SABAK BERNAM – Jika tahun lepas empat pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Min, di sini menduduki UPSR, namun tahun ini hanya seorang calon mengambil peperiksaan itu daripada 1, 971 calon yang mendaftar di daerah ini.

Guru Besarnya, Law Yet Yeeng berkata, sekolah itu mempunyai calon murid Melayu tunggal iaitu, Mohamad Nabil Thaqif Adam, 12.

Menurutnya, tahun lalu sekolah itu mempunyai empat calon, manakala pada 2015, lima pelajar didaftar untuk menduduki UPSR.

"Calon ini hadir pada hari ini untuk duduki kertas mata pelajaran bahasa Melayu pemahaman dan penulisan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SJKC Phooi Min, di sini hari ini.

Beliau berkata, biarpun hanya seorang calon dari sekolah itu menduduki UPSR, pihaknya tetap memberi penekanan untuk mengekalkan prestasi akademik murid berkenaan.

"Kami harap calon tunggal kami mampu meraih keputusan 100 peratus dalam UPSR kali ini.  Tahun lepas hanya capai 25 peratus kelulusan dan kali terakhir sekolah ini mencapai keputusan 100 peratus dalam UPSR 2008," katanya.

Yet Yeeng berkata, tahun ini sekolah itu hanya mempunyai seorang murid bagi kelas tahun 6, tahun 2 dan tahun 1.

"Tiada murid bagi kelas tahun tiga manakala kelas tahun 4 dan 5, masing-masing tiga dan empat orang murid serta ada 10 tenaga pengajar," katanya.

Sementara itu, di sebuah lagi sekolah kurang murid (SKM), Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa, hanya dua orang calon menduduki UPSR iaitu Muhammad Shahirul Syazrin Arshad, 12 dan Puteri Nur Azmira Mohd Khairol, 12.

Guru besar sekolah itu, Khaire Md Zen berharap kedua-dua calon UPSR sekolah itu dapat mengekalkan pencapaian lulus 100 peratus seperti tahun sebelumnya.

"Kita juga menaruh harapan tinggi calon sekolah ini mencatat gred purata sekolah (GPS) yang membanggakan. Jika dapat mengatasi pencapaian terbaik GPS 1.20 sekolah ini pada dua tahun lalu," katanya.

Pada 2015, SK Tanjong Jawa mencatat kejayaan manis apabila diumumkan sebagai SK terbaik daerah Sabak Bernam apabila dua calonnya lulus 100 peratus dan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 dalam UPSR.

Pencapaian itu melayakkan sekolah tersebut menerima empat anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seorang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor di sini yang kisahnya terpaksa dijemput guru untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengaku pakaian seragam sekolah miliknya basah menyebabkan tidak hadir ke sekolah pagi, Isnin lalu.
  • PASIR MAS - Kasih guru terhadap anak muridnya diterjemahkan melalui makanan apabila mereka memasak sendiri hidangan untuk dijamu kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemal.
  • KOTA KINABALU - Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di lima sekolah di daerah Beaufort, kira-kira 90 kilometer dari sini, berjalan seperti biasa meskipun sekolah berkenaan dilanda banjir.
  • ULU JEMPOL - Ibu bapa dan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Ulu Jempol di sini, mengadakan majlis bacaan Yasin selama empat hari berturut-turut bagi mengiringi anak-anak tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR.
  • KUALA TERENGGANU - Seramai lapan calon terpaksa menjawab peperiksaan UPSR di empat hospital di negeri ini melibatkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hospital Kemaman dan Hospital Hulu Terengganu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.