PETALING JAYA - Calon PH bagi PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar sebak apabila mengimbau kembali memori kehidupannya sebagai anak setinggan sewaktu kecil dahulu.

Menurutnya, beliau yang sememangnya sudah biasa dengan kehidupan susah bersetuju untuk menjadi calon pada kali ini bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah di kawasan tersebut.

"Saya akui saya memang anak tempatan yang pernah susah dan duduk di setinggan, anak seorang peniaga pasar malam dan pendapatan bapa saya pula hanya RM20 sehari untuk tampung kami sekeluarga.

"Sebab itulah tiba masanya untuk saya bantu kembali masyarakat di kawasan ini," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan calon Pas, Dr Halimah Ali yang menyifatkan hujah Halimey sebagai ketinggalan zaman apabila sering menggunakan modal anak tempatan sebagai kelebihan dalam PRK kali ini.

Sementara itu, Halimey berkata, pihaknya merancang untuk melantik satu jawatankuasa dalam kalangan petugas Pusat Khidmat Masyarakat, ketua komuniti dan pakar dalam setiap jenis sukan bagi menjayakan program sukan di Dun ini.

"Saya juga bercadang untuk memberi penumpuan serius dalam mempromosi sukan berprestij tinggi seperti bola sepak, badminton dan sepak takraw.

"Berdasarkan beberapa kawasan lapang di kawasan Dun ini, saya percaya rancangan untuk mengadakan program sukan buat rakyat tidak akan berdepan halangan," katanya.