Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Garmin GPS Malaysia dalam usaha menangani gejala kecurian kenderaan dengan menggunakan sistem alat pengesan kenderaan GPS (sistem kedudukan global).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, jika sebelum ini tugas menangani kes curi kenderaan adalah tanggungjawab polis, namun kini syarikat korporat seperti Garmin juga bekerjasama dalam menanganinya.
“Sebelum ini hanya polis yang bertanggungjawab dalam kes kecurian kenderaan namun sekarang kita sudah ‘go out’ dengan lain-lain ‘private sector’ untuk mengurangkan gejala curi kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Navitrack’ di sini, semalam.
Mohd Bakri berkata, melalui sistem itu, polis dapat melaksanakan tugas mengesan kenderaan dengan lebih cepat kerana mendapat maklumat yang lebih lengkap dan tepat.
Beliau berkata, dari awal Januari tahun ini hingga sekarang, kes curi kenderaan adalah sebanyak 45,707, di mana kecurian yang paling besar adalah motosikal iaitu 32,451 diikuti kereta (10,425) dan van, lori serta jentera berat (2,560).
Tiga negeri yang dilaporkan kegiatan curi kenderaan yang tinggi ialah Selangor (13,243), Johor (6,328) dan Kuala Lumpur (6,258).
Mengulas lanjut beliau berkata, kebiasaannya penjenayah akan mencuri kereta kerana untuk mendapatkan alat ganti kereta dan untuk dijual di luar negara.
“Kereta seperti Proton dicuri untuk diambil alat ganti manakala kereta mewah seperti pacuan empat roda, Mercedez-Benz, BMW, Toyota dan Honda dijual di luar negara.
“Seperti kenderaan pacuan empat roda banyak dijual di negara jiran sebelah selatan dan kenderaan lain banyak dihantar ke negara Timur Tengah dan Afrika Selatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Innovative Technologies, Ong Chang Seng berkata, gajet itu digunakan oleh syarikat insurans, keselamatan, sektor korporat dan pengeluar pacuan empat roda seperti Toyota Hilux serta pemilik kenderaan.
Beliau berkata, melalui sistem yang dipasang secara tersorok pada kenderaan itu, pemilik kenderaan hanya perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan Garmin atau menerusi sistem khidmat pesanan ringkas atau polis bagi memaklumkan kehilangan kenderaan.
"Bagi penjenayah yang menggunakan sistem ‘Jammer’ iaitu dengan cara mematikan alat pengesan yang terdapat pada kenderaan, secara automatik enjin kenderaan itu akan mati," katanya. - Bernama




