• Raja Nong Chik (dua, kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak pekerja KTMB, ketika melancarkan Riwa, di Bangsar, semalam. Raja Nong Chik (dua, kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak pekerja KTMB, ketika melancarkan Riwa, di Bangsar, semalam.
1 /

KUALA LUMPUR - Golongan minoriti seperti kaum India tidak pernah dipinggirkan dan kerajaan sentiasa berusaha menambah baik situasi sedia ada bagi memastikan kepuasan semua pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, banyak program yang dirancang kini dalam proses pelaksanaan mencakupi penglibatan kaum India menerusi beberapa aspek yang sering dibangkitkan.

Menurutnya, jika dilihat situasi kini, ia sudah banyak berbeza apabila adanya kaum India yang menjadi ‘Top Man’ dalam pentadbiran kerajaan dan banyak peluang yang diberi kepada kaum India menerusi program yang sedang dibuat.

“Pekerjaan, keputusan Karbinet sendiri untuk menambah pekerja kaum India dalam bidang ketenteraan, polis, serta barisan hadapan agensi kerajaan dan ini adalah berterusan.

“Keduanya dari segi pelajaran ada spesifik program mampu mengimbangkan kekurangan pelajar India dalam institusi pengajian tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Kebajikan Kaum India Keretapi Tanah Melayu Berhad (Riwa), di Pangsapuri Bangsar Utama, di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, beberapa perkara dibangkitkan pihak Riwa termasuk memohon bekas kakitangan KTMB diberi keutamaan untuk menyewa rumah kos rendah di ibu negara.

Raja Nong Chik ketika mengulas berhubung perkara itu berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang janji kerana ia memerlukan prosedur, namun bersedia membantu memastikan nasib mereka terbela.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik penubuhan Riwa dan menyifatkan pekerja KTMB dalam kalangan kaum India bukan sahaja berjasa kepada KTMB, malah kepada negara sejak bertahun dahulu.

“Ia sebagai landasan untuk mereka memperjuangkan kebajikan kira-kira 300 pekerja dan bekas pekerja KTMB dalam kalangan kaum India,” katanya.

Riwa ditubuhkan antara lain berfungsi menyatukan semua ahli dari kaum India di KTMB dan anak syarikat KTMB di Kuala Lumpur.