SHAH ALAM - Pimpinan Pas dan Umno Selangor mahu calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Dun Seri Setia Halimey Abu Bakar mengisytiharkan aset seperti yang akan dilakukan calon mereka, Dr Halimah Ali sebelum hari mengundi, Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata mesyuarat jawatankuasa bersama antara Pas dan Umno Selangor hari ini mencapai persetujuan agar kedua-dua calon berbuat demikian untuk membuktikan mereka berintegriti dan bersih daripada rasuah.

"Dengan pengisytiharan harta ini, kita boleh lahirkan pemimpin paling bersih dan berintegriti.

"Kalau ada kenderaan, kita mahu calon isytiharkan berapa nilai kenderaan, berapa elaun sebagai Ahli Majlis, mampukah dia memiliki basikal contohnya, yang berharga RM15,000 seunit dan sehingga ada tiga basikal.

"Jadi, mereka kena isytiharkan harta, biar rakyat tahu agar pemimpin yang rakyat hendak pilih ini tidak akan menyalahgunakan kuasa bila diberikan kuasa,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pas dan Umno Selangor di Pejabat Perhubungan Pas Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Dr Halimah.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkata, beliau sudah membuat pengisytiharan aset baru-baru ini dan ia dipaparkan dalam laman web parti.

"Saya adalah mantan Exco Kerajaan Selangor dan memang telahpun isytihar aset dalam website Selangor," katanya.

PRK Seri Setia pada Sabtu ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana kanser usus.

Ia membabitkan pertandingan satu lawan satu antara Halimey, bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Dr Halimah, bekas exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Adun Selat Klang. - Bernama