KUALA LUMPUR - Gerakan jentera parti secara terancang diyakini mampu mengubah nasib sesetengah parlimen yang dilabel tiada peluang untuk menang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apatah lagi apabila melibatkan kawasan yang wakil rakyatnya gagal berfungsi dengan baik.

Menurutnya, ia dilihat sebagai peluang yang boleh digunakan jentera parti menyebar luas maklumat agar memberi kesedaran kepada rakyat untuk menyokong pihak yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

“Kita sendiri lihat desas-desus Azmin mahu keluar dari Gombak, Nurul Izzah tidak di Lembah Pantai. Mengapa? Kerana rakyat di kawasan tersebut sudah kenal siapa mereka.

“Mereka intai kawasan lain yang rakyat tidak kenal. Jadi di sini peranan jentera parti untuk memastikan rakyat ‘kenal’ siapa mereka sebenarnya yang tidak memainkan peranan jaga kebajikan rakyat dalam kawasan,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Umno Bahagian Batu, di sini malam tadi.

Tambah Hishammuddin, dalam masa sama, semua komponen parti juga perlu memastikan tidak berlaku keretakan hubungan sesama sendiri mengelakkan unsur eksploitasi oleh pihak tertentu  yang cuba berniat jahat terutama menjelang PRU14.

Justeru katanya, seluruh jentera perlu bergerak secara terancang di semua peringkat terutama dalam kepelbagaian latar belakang dan kaum demi memastikan kemenangan dapat diraih pada PRU14.

“Tidak ada perkara mustahil dalam politik dengan adanya kerjasama dan kesungguhan daripada semua. Kita perlu ingat dalam kepelbagaian, ada kekuatan lebih-lebih lagi demi generasi cucu-cicit kita nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani, berkata, beliau yakin masih ada sinar untuk merampas Parlimen Batu.

Ujarnya, sokongan tidak berbelah bahagi akan diberikan kepada siapa pun calon untuk parlimen itu dalam memastikan peluang itu dapat direalisasikan.

“Kita terima siapa pun calon BN untuk Batu seperti mana yang bakal ditentukan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya.