SHAH ALAM - Mayat ditemui di kincir air Bukit Naga di Seksyen 32, di sini kelmarin dipercayai pemuda sama didakwa hilang ketika cuba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Jumaat lalu.

Memetik laporan disiarkan portal majalah Remaja, pakaian dan tali pinggang pada mayat itu menambahkan keyakinan ahli keluarga bahawa jasad dilihat pada sesi pengecaman dijalankan semalam ialah Amir Hamzah Mohd Rozali, 21.

Abang mangsa, Khairul Anwar, 27, yang menyertai sesi pengecaman berkata, gerak hatinya yakin mayat berpakaian lengkap dilihat itu adalah Amir Hamzah.

“Mayat itu masih lengkap berpakaian dengan seluar slek. Ini lebih meyakinkan saya kerana adik yang tamat belajar di Cybernetic International College Technology ada majlis konvokesyen pagi itu di Universiti Putra Malaysia pada hari dia menolong mangsa kemalangan itu.

“Ketika melihat mayat itu, gerak hati mengatakan itulah adik saya kerana mayat itu lelaki Melayu, beragama Islam dan tali pinggang dipakainya tertulis PLKN. Adik pernah jalani latihan PLKN selepas tamat sekolah dulu. Pihak hospital hanya beri masa yang sekejap tengok mayat, dari paras muka sampai pinggang saja,” katanya.

Difahamkan bedah siasat dijalankan di Hospital Shah Alam, petang semalam.

Sementara itu memetik laporan Astro AWANI, Khairul Anuar berkata, keluarga kini sedang menunggu keputusan ujian Asid Deosiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan mayat berkenaan adalah Amir Hamzah.

“Cuma sekarang polis masih menunggu hasil ujian DNA. Selepas itu baru boleh buat urusan sepenuhnya. Kalau boleh, kita nak uruskan secepat mungkin kerana dah terlampau lama, tetapi kita kena tunggu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kehilangan Amir Hamzah setelah keluarga percaya yang pemuda itu turut menjadi mangsa ketika cuba membantu mangsa kemalangan berkenaan.

Motosikal milik mangsa jenis Yamaha Y15 dengan nombor pendaftaran ALC 5874 dijumpai di lokasi kejadian dan operasi mencari dijalankan pihak polis dan bomba di Sungai Kayu Ara yang terletak bersebelahan lebuh raya NKVE.  

Operasi mencari tersebut menemukan beg yang mengandungi barangan termasuk butiran peribadi milik mangsa sebelum satu mayat lelaki ditemui kelmarin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat lelaki ditemui di kincir air]