KLANG - Geng Bayu yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan kedai tumpas dalam serbuan berasingan di Bukit Tinggi 2, di sini, hari ini.

Serbuan dibuat dalam Ops Pintu bermula jam 5.30 pagi oleh sepasukan polis Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun berjaya diberkas.

“Dalam serbuan pertama di sebuah perumahan flat, dua lelaki berjaya dicekup.

“Kemudian, berpandukan maklumat daripada kedua-dua suspek itu, berjaya membawa penahanan suspek ketiga kira-kira jam 6.15 pagi dan suspek keempat kira-kira jam 6.45 pagi,” katanya.

Beliau berkata, beberapa barang yang disyaki hasil jenayah geng ini telah dirampas antaranya kipas, mesin basuh, televisyen, dan peti sejuk.

Katanya, siasatan mendapati geng ini yang telah aktif sejak tiga hingga empat bulan lalu ini telah terlibat dalam beberapa siri kes di kawasan Bukit Tinggi.

“Semakan yang kita buat juga mengesahkan kesemua suspek ini memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :