BESTARI JAYA - Ganjaran hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan hampir RM20,000 menanti kaki pancing sempena Hari Terbuka Universiti Selangor (Unisel) 2018 pada 17 Mac dan 18 Mac ini di Tasik Unisel Kampus Bestari Jaya.

Hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 ditawar kepada pemenang tempat pertama yang berjaya menaikkan ikan paling berat manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai RM4,000 dan RM2,000.

Topi edisi khas diberi kepada 200 peserta terawal yang mendaftar, yuran RM50 dikenakan untuk penyertaan bagi setiap joran. Borang pendaftaran boleh dimuat turun menerusi laman sesawang http://joran.unisel.edu.my dan tarikh tutup penyertaan pada 17 Mac ini.

Pelepasan pancang dan pendaftaran bermula dari jam 4 petang hingga 6 petang 16 Mac ini dan hanya joran yang ada pelekat memancing sahaja dibenarkan dipacakkan di tasik berkenaan.