KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Ampang dekat sini masih mengalami gangguan bekalan air sementara sejak semalam berikutan paip pecah di Lot 416, Lorong Ikan Emas 12, Kampung Ampang Campuran.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, pihaknya sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan dan tidak dapat menganggar tempoh masa pemulihan bekalan air itu.

"Segala usaha sedang dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pembaikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amin Lin berkata, gangguan bekalan air itu menjejaskan 17 kawasan termasuk Kampung Tasek Permai, Kampung Ampang Campuran, Taman Permai Jaya Ampang, sebahagian Kampung Ampang Indah, Kampung Tasek Tambahan, Taman Sri Bayu Ampang, Taman Sri Raya Ampang dan Taman Faizura Ampang.

Turut terlibat ialah Taman Bukit Ampang, Kampung Muhibah, Taman Sri Watan, Taman Desa Ampang/Taman Sri Ampang, Taman Halaman Kesuma, Taman Dagang Permai, Ampang Waterfront dan AEON Big Ampang.

Beliau berkata, bekalan menerusi lori tangki air juga dihantar ke kawasan terlibat dan pengguna boleh memohon bantuan menerusi SMS ke 15300 (taip: Tanker< jarak > Nama dan Alamat).

Mereka boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’. - Bernama