KUALA LUMPUR - Saliran sungai Bonus bawah tanah di Kampung Baru yang gagal diselenggarakan sejak lebih 10 tahun lalu didakwa menjadi punca kejadian banjir di Kampung Periuk, baru-baru ini.

Ketua Kampung Periuk, Aziz Ariffin, berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian kerana sudah dua kali kejadian banjir kilat berlaku pada bulan ini sehingga menjejaskan kediaman dan penduduk kampung.

Menurutnya, keadaan lebih buruk di kawasan yang rendah membuatkan penduduk terlibat berdepan masalah setiap kali hujan lebat dan termasuk dua kali kejadian pada bulan ini sahaja membabitkan kira-kira 80 peratus daripada seluruh Kampung Periuk iaitu kira-kira 40 kediaman terjejas.

“Air sungai Bonus akan melimpah ketika hujan lebat sehingga berlakunya banjir kilat disebabkan tidak dapat menampung aliran air dari Kampung Boyan (Jalan Gurney) yang turut melalui Kampung Atas A dan Kampung Atas B sebelum ke Kampung Periuk.

“Kita tidak tahu apa yang ada dalam saliran berkenaan. Sejak ia ditutup tiada penyelenggaraan dibuat. Mungkin saluran sungai sudah menjadi cetek disebabkan sampah atau pasir yang kita tidak nampak,” katanya ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, selain isu penyelenggaraan, sebuah projek lencongan sungai sepatutnya menjadi penyelesaian masalah banjir di situ juga masih gagal disiapkan menjadi punca banjir.

“Projek ini akan melencongkan air Sungai Bonus dari kawasan Kampung Boyan terus ke Jalan Tun Razak sebelum ke Sungai Klang, ia baru dimulakan semula dalam beberapa bulan ini selepas terhenti hampir setahun.

“Jika projek ini siap nanti mungkin tiada lagi masalah banjir di Kampung Periuk. Jadi saya harap pihak agensi berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya suapya ia tidak menjadi lebih teruk,” katanya.

Aziz berkata, masalah banjir di situ pernah cuba diatasi dengan sebuah projek naik taraf tambatan Sungai Bonus tetapi gagal dilaksanakan disebabkan terdapat batu di dasar sungai.

“Bagaimanapun projek itu digantikan dengan projek pejalan kaki dan naik taraf pam air. Namun masalah banjir tetap berlaku jika hujan lebat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan kejadian banjir di Kampung Periuk bukanlah perkara baharu namun sejak adanya pembinaan Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (Smart), masalah di situ sudah dapat di atasi.

Bagaimanapun, sejarah kembali berulang dengan kejadian banjir baru-baru ini yang berpunca daripada perkara yang disebutkan.

“Jika dulu sebelum ada Terowong Smart, ada kawasan rendah yang naik air hingga hanya nampak bumbung saja. Tapi sejak ada Terowong Smart keadaan lebih terkawal. Jika ada pun hanya air naik sikit-sikit. Sehinggalah kejadian yang berlaku baru-baru ini,” katanya.