PETALING JAYA - Seorang gadis trauma apabila diganggu seorang lelaki tua yang melakukan perbuatan lucah terhadapnya ketika berada di kawasan pasar malam di Jalan SS2/63, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, gadis berusia 20 tahun itu sedang berjalan bersama adiknya sebelum didatangi suspek berusia 55 tahun itu dari arah belakang.

Adik mangsa sempat melihat perbuatan suspek yang tiba-tiba muncul dan dipercayai memancutkan air mani kepada mangsa sehingga mengenai baju sebelah kanan dan rambutnya.

Mangsa, hanya sedar perbuatan suspek selepas mendapati bajunya basah dan keadaan itu menyebabkan berlaku kekecohan di kawasan pasar malam tersebut.

Orang awam yang melihat kejadian cuba menangkap suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum keadaan dileraikan oleh anggota polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan perkara tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan beliau memaklumkan turut menerima aduan daripada seorang wanita yang mendakwa diraba ketika sedang menaiki tangga bergerak di Stesen MRT Kota Damansara berdekatan Tropicana Medical Centre, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam.

Menurutnya, mangsa berusia 25 tahun itu pada mulanya berada di belakang suspek, sebelum bergerak dan berdiri di hadapan suspek ketika menaiki tangga bergerak tersebut.

"Bagaimanapun ketika sampai di penghujung tangga bergerak itu, suspek bergerak semula ke depan dan sebaik sampai di atas, suspek tiba-tiba berpusing dan menyentuh pinggul mangsa di bahagian kanan.

"Suspek kemudiannya terus beredar meninggalkan mangsa. Mangsa yang tidak berpuas hati memaklumkan kejadian kepada pegawai bertugas di kaunter pertanyaan dan meminta pertolongan dari polis bantuan," katanya.

Katanya, suspek berusia 21 tahun itu kemudiannya berjaya ditahan di kawasan lobi stesen terbabit dan dibawa ke balai polis untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul.