BATU KURAU - Parlimen Larut bakal digegarkan dengan penganjuran Fiesta Larut 2017 yang menyajikan pelbagai aktiviti akan berlangsung selama empat hari bermula 14 hingga 17 September ini.

Pengerusi penganjur, Mohd Amran Abdul Rahman berkata, Fiesta Larut yang dilaksanakan setiap dua tahun sekali ini dijangka bakal menjadi tumpuan hampir 100,000 pengunjung pada tahun ini.

Menurutnya, pada tahun 2015, pengamjurannya telah dilaksanakan di Dun Selama dan pada kali ini giliran Dun Batu Kurau pula menjadi tuan rumah.

"Sambutan pada tahun ini bakal mempamerkan kelainan berbanding tahun sebelumnya kerana ia turut melibatkan pertambahan aktiviti sukan selain konser, jualan dan pameran," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amran berkata, fiesta berkenaan akan berlangsung di Kompleks Sukan Astaka, Batu Kurau.

"Kemeriahannya sudah dapat dirasai sejak majlis pra pelancaran dilakukan pada 9 September lalu.

"Mungkin ia antara kelainan yang akan kita berikan kerana semasa majlis pra pelancaran itu, saringan awal beberapa sukan seperti bola sepak, sepak takraw dan bola jaring telah dijalankan.

"Ia bagi memastikan sepanjang tempoh empat hari fiesta ini diadakan dapat berjalan lancar.

"Proses saringan awal itu turut melibatkan penglibatan sebanyak 45 pasukan bola sepak, 37 (takraw) dan 22 pasukan bola jaring," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.