KEPONG - Penduduk Jalan Mergastua Kepong Baru di sini dapat menyaksikan persembahan bunga api dan mercun secara percuma selepas enam kedai menjual barangan tersebut terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.14 malam itu, deretan kedai yang dibuka khusus sempena Tahun Baru Cina sejak dua minggu lalu musnah keseluruhan.

Kejadian turut mengakibatkan dua kenderaan jenis Toyota Vios dan Honda City yang  di parkir di hadapan gerai masing-masing terjejas 80 peratus dan 40 peratus.

Sementara sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 rentung seratus peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Rosli Aris berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.15 malam dan tiba ke lokasi sembilan minit kemudian.

Menurutnya, lima daripada enam gerai telah terbakar ketika pasukannya tiba.

Deretan kedai dan kenderaan yang terjejas susulan kebakaran malam kelmarin.

"Siasatan awal mendapati kejadian bermula dari sebuah kedai sebelum merebak ke kedai bersebelahan berpunca daripada bermain mercun sebelum terbakar.

"Anggota dari BBP Jinjang dibantu BBP Hartamas berjaya mengawal kebakaran 13 minit kemudian sebelum api padam sepenuhnya jam 11.41 malam," katanya.

Kata Rosli, tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang mahu dikenali KK Er,53 berkata, dia yang berada di rumah kehairanan selepas bunyi mercun terlalu kuat dan lama.

"Saya yang baru lepas mandi pelik kerana bunyi mercun kuat daripada biasa seperti sedang sambut merdeka dan bila keluar rumah memang jelas nampak kedai menjual mercun dan bunga api terbakar.

"Kami tak berani duduk terlalu dekat memandangkan terdapat mercun terbakar berterbangan dari semua arah. Bunyi bising mercun itu berterusan lebih 30 minit.