SHAH ALAM - Semua penduduk khususnya yang tinggal di bangunan bertingkat perlu diberi penerangan terperinci berhubung undang-undang serta tindakan yang boleh diambil sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata susulan insiden seorang remaja lelaki yang maut selepas ditimpa sebuah kerusi yang dibuang dari tingkat 21 Flat PPR Seri Pantai, kelmarin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut ditimpa kerusi 'dari langit']

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan dan polis perlu bekerjasama untuk menjayakan perkara ini supaya semua penduduk dan penghuni bangunan bertingkat menghormati undang-undang dan peraturan sedia ada.

Katanya, menerusi penerangan itu, penghuni bangunan bertingkat perlu diingatkan untuk tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menyusahkan kehidupan orang sekeliling.

"Bagi mengelakkan insiden sama berulang, beberapa langkah proaktif boleh dipertimbangkan seperti memasang jeriji di setiap bangunan bertingkat kecuali di pintu-pintu masuk, keluar serta di pintu kecemasan, menyediakan lebih banyak laluan khas untuk para pejalan kaki yang mempunyai bumbung serta yang lebih selamat  di mana-mana bangunan bertingkat dan lain-lain lagi.

"Poster-poster serta notis yang memberi peringatan keras terhadap semua penduduk dan penghuni bangunan supaya tidak membuang sebarang jenis barangan dari bangunan perlu diberikan kepada setiap penduduk serta penghuni bangunan bertingkat," katanya.

Muzaffar Syah berkata, kesemua poster itu juga perlu ditampal di setiap dinding bangunan bertingkat agar setiap individu tahu mengenainya.

Tindakan yang keras juga perlu diambil terhadap mana-mana ibu bapa atau penjaga yang didapati gagal atau cuai menjaga anak-anak mereka yang didapati membuang apa-apa barang dari bangunan bertingkat.

"Isu yang berlaku ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.