KLANG - Dua penghuni sebuah rumah sewa di Jalan Keretapi Lama, Kampung Perepat nyaris maut selepas kediaman itu dirempuh sebuah lori tanker, pagi tadi.

Rempuhan turut menyebabkan bahagian hadapan rumah tersebut rosak teruk termasuk di bahagian anjung hadapan, tembok tepi jalan serta gazebo.

Anak kepada pemilik rumah sewa, Ruzilah Hanim Salleh, 53, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.20 pagi ketika dua penghuni wanita berusia 30 an sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

"Rempuhan menyebabkan kedua-duanya tergamam, ibu saya yang tinggal bersebelahan rumah sewa juga terkejut lalu mereka keluar menyelamatkan diri.

"Mereka tak sangka rumah tersebut dirempuh sebuah lori tanker mengakibatkan struktur kediaman itu senget dan tidak selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, sehingga jam 5.30 petang, pemandu lori itu belum tampil bahkan lori kontena juga belum dialihkan sekaligus menyukarkan kerja-kerja pembersihan.

"Saya harap pemandu berkenaan tampil bagi membolehkan ibu saya membuat tuntutan ganti rugi kerana ia melibatkan kerosakan yang agak besar.

"Saya juga dimaklumkan pemandu mengalami kecederaan di bahagian kepala namun pihak berkuasa masih gagal mengesan beliau sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Muhammad Irwani Nooruldin berkata, lori itu dipercayai datang dari Pekan Kapar menghala Kampung Perepat.

"Pemandu berkenaan disyaki gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu terbabas dan merempuh rumah berkenaan.

"Tidak terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kemalangan dan sehingga kini kita masih menjejaki pemandu lori tersebut yang menghilangkan diri sebaik kejadian berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Athan berkata, petugas dari balai itu dikejarkan ke lokasi dalam usaha menyelamat mangsa kejadian.

"Dalam kejadian itu, kesemua penghuni rumah selamat, hanya pemandu lori berusia 58 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dia dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sejurus kejadian," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Seorang juruteknik maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh sebuah lori dalam kejadian di Lebuhraya Kampung Pisang-Bemban, petang semalam.
  • NILAI - Seorang pelajar sebuah kolej maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di Kilometer 287.0 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, di sini semalam.
  • KULIM - Hasrat seorang lelaki berusia 22 tahun untuk bertemu rakan selepas waktu bekerja tidak kesampaian apabila mangsa terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.