KLANG - Persatuan Kebajikan Melayu Klang (PKMK) dan Pertubuhan Perkuasa Malaysia (Perkuasa) bekerjasama dalam mengedarkan lebih 500 bekas bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar kawasan Simpang Empat Sungai Udang sebagai satu tanggungjawab sosial mereka bersempena Ramadan.

Yang Dipertua PKMK, Datuk Abdul Rahim Ibrahim berkata, pemberian itu adalah atas dasar tanggungjawab dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini selain usaha untuk mendekati orang ramai.

"Kebiasaannya kita tumpukan kepada isu-isu negara dan kepentingan masyarakat namun pada bulan mulia ini, kita ambil kesempatan untuk fokus kepada aktiviti amal jariah.

"Pada masa sama, kita dapat bertegur sama dengan orang ramai selain dapat memupuk hubungan silaturrahim yang lebih erat," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama asnaf dan anak yatim di pekarangan pejabatnya di Simpang Empat, Sungai Udang, di sini.

Pada majlis sama, kedua-dua pertubuhan itu turut berbuka puasa bersama-sama asnaf dan fakir miskin dari sekitar Selat Klang.

Menurutnya lagi, program sedemikian adalah anjuran PKMK buat kali ketujuh sejak penubuhannya.

"Saya gembira kerana program ini mendapat sambutan berdasarkan kehadiran golongan asnaf dan anak-anak yatim selain maklum balas daripada orang ramai ketika edaran bubur lambuk dilakukan," katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.