KUALA LUMPUR – Sekumpulan 30 individu kebanyakannya pesara, hari ini membuat laporan polis setelah pemilik sebuah syarikat berasaskan pelaburan gagal membuat bayaran balik wang mereka berjumlah RM1.25 juta yang dilaburkan sejak 2016.

Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa berkenaan merupakan senarai pengadu yang tampil kepada PPIM setelah mendapati syarikat berkenaan gagal memberi pulangan terhadap skim pelaburan yang disertai mereka.

Menurutnya, beberapa rundingan yang dibuat PPIM bersama dua indvidu yang dikenal pasti sebagai peneraju syarikat berkenaan juga menemui jalan buntu menyebabkan kesemua mangsa nekad untuk menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Rundingan terakhir adalah pada malam tadi. Saya tawarkan agar dua individu ini bawa wang tunai RM1.25 juta untuk diagihkan kepada mangsa atau dalam bentuk cek sebelum jam 3 petang. Namun mereka tidak tampil.

“Kes ini perlu disiasat bawah kes jenayah komersil bukannya kes sivil kerana penipu seperti mereka ini sudah tidak takut disaman. Lagipun kasihan kepada mangsa yang kebanyakan adalah pesara tiada wang untuk lantik peguam selepas wang pencen habis dilaburkan,”katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Jelas Hishamuddin, syarikat berkenaan menawarkan program pembayaran prabayar bil utiliti dengan menjanjikan pulangan sebanyak 65 hingga lebih 100 peratus.

“Empat hingga enam bulan pertama pelabur menerima pulangan namun sistem berkenaan dihentikan dengan pelbagai alasan akhirnya tidak menerima pulangan yang dijanjikan.

“Ada yang menggunakan wang pencen, simpanan tabung haji dan sebagainya untuk sertai skim ini tetapi akhirnya kerugian. 30 individu ini adalah mereka yang membuat aduan kepada PPIM, tetapi sebenarnya ramai lagi mangsa yang melibatkan kerugian puluhan juta ringgit,” katanya.