SENTUL – Tindakan sesetengah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang gemar membuang objek dari tingkat atas membawa musibah kepada penduduk sebuah flat berhampiran apabila saban hari banyak kenderaan dilaporkan terjejas akibat insiden tidak bertanggungjawab itu.

Kejadian yang sering kali berlaku di Flat Sentul Utara itu berpunca daripada objek yang dibaling dari kawasan kediaman PPR Sri Kelantan yang terletak hanya beberapa meter bersebelahan

Penduduk Flat Sentul Utara, Mohd Zaharil, 47, berkata, kebanyakan kereta yang diletakkan terlalu hampir dengan bangunan PPR tersebut akan pecah cerminnya.

“Mereka baling batu atau objek hingga kadangkala turut membahayakan nyawa kami yang lalu–lalang berhampiran blok PPR itu,” katanya.

Menurutnya, pernah sekali seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun nyaris terkena topi keledar yang sengaja dibuang dari tingkat atas PPR berkenaan yang jatuh hanya beberapa meter darinya.

Manakala Azim Johari, 34, berkata, penduduk yang pernah menjadi mangsa tidak lagi meletakkan kenderaan mereka berhampiran bangunan PPR itu.

“Lazimnya mereka yang tidak tahu termasuk kereta pelawat akan menjadi sasaran balingan objek dan sama ada sengaja atau tidak, ada sampah turut dicampakkan begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau yang turun padang melawat ke kawasan itu kelmarin berkata, masalah dihadapi penduduk Flat Sentul Utara akan dapat diselesaikan melalui pertemuan bersama wakil penduduk di PPR Sri Kelantan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita akan selesaikan masalah ini kerana keadaan semakin meruncing malah beberapa perkara juga akan diberi perhatian termasuk cadangan mahu mengadakan sistem kawalan keselamatan di Flat Sentul Utara bagi mengelak kejadian pecah kereta oleh pihak luar yang menceroboh masuk ke dalam kawasan flat ini,” katanya.

Selain itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh DBKL termasuk mengadakan garisan kuning bagi memberi amaran kepada kenderaan supaya tidak membuat pusingan U di lampu isyarat di jalan utama di hadapan flat berkenaan bagi mengelak kesesakan teruk.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.