SUBANG JAYA - Gara-gara dikatakan sering enggan ke sekolah, seorang ibu tergamak merantai kaki anak perempuannya dengan rantai besi  berdekatan sebuah taman permainan di Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini, petang semalam.

Kanak-kanak berusia lapan tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 6.35 petang sebelum panggilan dibuat ke Balai Polis Subang Jaya.

Gambar tindakan ibu mangsa itu turut diviralkan di laman sosial dan mendapat pelbagai kecaman daripada netizen.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki menemui kanak-kanak itu berpakaian seragam  sekolah dengan kakinya dirantai di taman permainan Jalan Lagoon Perdana 9/1.

Bertindak atas maklumat, Unit Rondaan Bermotosikal bergegas ke lokasi dan mendapati kanak-kanak perempuan tersebut dikerumuni orang ramai.

Beliau berkata, tidak sampai 10 minit kemudian  ibu kandung kanak-kanak itu tiba di lokasi  dan mengaku merantai anaknya kerana selalu enggan ke sekolah.

“Anaknya didakwa dirantai sebagai denda, anggota polis kemudian meminta kunci daripada ibu mangsa dan membuka rantai besi pada kaki anaknya kira-kira jam 6.45 petang selepas kira-kira 30 minit kejadian berlaku.

“Ibu mangsa berusia 30 tahun dan anaknya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk disoal siasat dan kes masih dalam siasatan,” katanya kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak.