KAJANG - Selepas dua kali didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyalahgunakan wang pakej percutian, seorang wanita sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sama.

Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Fadzilah Isma Ahmad Refngah.

Ibu tiga anak itu didakwa menyalahgunakan wang milik Asma Ahmad berjumlah RM3,000 dengan menyatakan ia akan ditukarkan kepada mata wang Yen tetapi gagal berbuat demikian pada 8.50 malam,  20 Julai, 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang menangis semasa prosiding itu, didakwa menyalahgunakan wang milik Rathiah Shamsudin berjumlah RM4,900 yang dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB milik tertuduh untuk  tempahan percutian ke Krygstan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sungai Ramal Dalam, Ulu Langat</a>, pada 3.16 petang, 12 September, 2017.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak kedua wanita itu menghidap penyakit leukimia dan memerlukan rawatan dengan kos yang tinggi.

Anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis sepanjang tempoh reman selama 28 hari, dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, katanya sambil menambah bahawa selepas  wanita itu ditahan keluarganya juga berhadapan masalah kewangan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 30 Jan lepas dan semalam, Nor Farah Farhan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan menyalahgunakan wang pakej percutian ke  Korea berjumlah  RM55,707. - Bernama