KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menaik taraf kawasan Taman Lucky Bangsar, di sini, dengan landskap yang lebih menarik sebagai langkah memastikan kesejahteraan hidup komuniti di situ terjaga.

Ia sebahagian inisiatif DBKL dalam memberi tumpuan di kawasan-kawasan bukan pusat bandar.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah, berkata, cadangan itu akan meliputi dua tindakan perlaksanaan iaitu jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, ia termasuk masalah kesesakan Di situ dengan mengkaji semula aliran trafik secara keseluruhannya.

"Untuk jangka masa terdekat, infrastruktur yang rosak termasuk laluan pejalan kaki akan dibaiki, struktur-struktur yang menghalang laluan juga akan dialihkan.

"Untuk jangka masa panjang, ada cadangan untuk menjadikan laluan di kawasan ini sebagai jalan sehala, termasuk keperluan penutupan sebahagian jalan berhampiran kawasan penduduk.

"Bagaimanapun DBKL perlu mengkaji perkara itu dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,"katanya ditemui ketika sesi walkabout bersama Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Raja Nong Chik, dalam pada itu berkata, pihaknya menyambut baik perhatian yang diberikan DBKL dalam usaha penjenamaan semula kawasan padat itu.

Ujarnya, perbincangan juga telah dibuat berhubung cadangan pemindahan peniaga pusat penjaja di situ ke penempatan baharu terletak berhampiran.

"Sistem di sini secara keseluruhannya perlu diperbaiki kerana melibatkan kawasan komersil dan penduduk yang terletak bersebelahan.

"Perlu ada perbezaan untuk kedua-dua kawasan ini kerana kawasan komersil yang sangat aktif boleh menjejaskan penduduk sekiranya tidak terkawal,"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Peniaga Pasar Harian Selayang menunggu pembinaan pasar moden dijanjikan DBKL yang sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun, namun sehingga kini belum menunjukkan sebarang projek dijalankan.
  • KUALA LUMPUR - Kegagalan pembeli Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pembayaran bulanan yang ditetapkan Yayasan Wilayah Persekutuan, menyebabkan sejumlah 137 unit terlibat ditarik semula penjualannya.
  • KUALA LUMPUR - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 48 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara akan dilaksanakan awal bulan depan dalam usaha memantau sebarang salah laku di kawasan perumahan itu.
  • KUALA LUMPUR - Isu perumahan di ibu kota antara perkara membebankan warga kota terutamanya golongan belia yang terpaksa berdepan kadar sewa kediaman yang tinggi.