RAWANG - Sedih itu ungkapan menggambarkan perasaan ahli MCA susulan perobohan tanpa rela dewan Dato’ Lee Kim Sai berusia 40 tahun itu.

Semalam, operasi perobohan diketuai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak terganggu selepas dihalang beberapa ahli MCA yang enggan memberikan kerjasama.

Difahamkan seawal jam 8 pagi kira-kira 30 ahli MCA memenuhi dewan untuk sarapan terakhir di sana, sebelum penguat kuasa tiba jam 9.30 pagi.

Tepat jam 10 pagi operasi perobohan dimulakan sebelum beberapa kali terhenti akibat halangan daripada ahli MCA.

Perobohan mendapat campur tangan daripada polis yang mengawal keadaan, susulan siri pergelutan sebelum berjaya ditenangkan.

Pengerusi MCA Selayang, Datuk Goh Ah Ling berkata, beliau berusaha untuk mempertahankan dewan tersebut namun tidak berjaya.

Menurutnya, beliau akan merujuk perkara tersebut dengan peguam dilantik bagi menimbangkan tindakan selanjutnya.

“Ia termasuk salah guna kuasa oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei yang mengeluarkan surat dewan baharu itu bakal diuruskan oleh JKKK.

“Sedangkan melalui PTD Gombak memaklumkan semua pihak bebas menggunakan dewan itu dan ia diuruskan di bawah pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan MCA memohon penangguhan perobohan sehingga kata sepakat dicapai mengenai status pengurusan dewan tersebut.

MCA pernah mencadangkan diberikan tanah gantian atau hak pengurusan dewan baharu kepada JKKKP namun ditolak.

Cadangan baharu kemudiannya diusulkan dengan meminta supaya pengurusan dewan tersebut diuruskan sama rata, namun tiada jawapan.

Bangunan baharu dua tingkat meliputi dewan dan pejabat JKKK dicadangkan dibina September ini di bawah peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM390,000.

Operasi tamat sepenuhnya jam 12 tengah hari.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.