TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri Selangor dicabar supaya melaksanakan Skim Insurans Pesawah sebanyak RM3 juta seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018 khas untuk pesawah Selangor.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, pihaknya mahu melihat sejauh mana pelaksanaan skim insurans itu tanpa menipu rakyat khususnya golongan pesawah.

Menurutnya, pihaknya mahu mencabar kerajaan negeri bagaimana mahu melaksanakan insurans kepada 10,000 pesawah dengan bajet begitu rendah dengan hanya RM3 juta.

“Sebelum ini, perkara sama pernah diusulkan untuk membela nasib pesawah yang terjejas dengan musibah bencana alam bahkan kerajaan meluluskan RM60 juta untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun skim itu tidak dapat dilaksanakan berikutan limit akses kerugian tidak ditanggung pihak syarikat insurans untuk amaun tertentu bahkan jika berlaku bencana alam, insurans terbabit tidak dapat melindungi pesawah.

“Perbincangan dengan beberapa syarikat insurans ternyata menunjukkan perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada pencarum tidak memuaskan bahkan tidak membantu golongan pesawah sekali pun,” katanya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kerajaan negeri juga dicabar untuk menjelaskan lebih terperinci mengenai pelaksanaan skim insurans itu secara terbuka.

“Saya tidak mahu rakyat khususnya pesawah tertipu dengan agenda politik kerajaan negeri yang kononnya mahu membela tetapi sebaliknya hanya cakap kosong.

“Sebab kita pernah melalui perkara ini dan tahu bagaimana skim insurans itu membantu atau tidak golongan pesawah itu…lebih baik kerajaan negeri terangkan lebih jelas perkara ini dan bukannya nak tipu rakyat,” katanya.