KLANG - Bulatan Seratus yang menampilkan konsep hijau serta menggunakan bunga rasmi Klang sebagai simbolik daerah tersebut bakal menjadi tarikan baharu pengunjung dalam dan luar negara.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, bulatan menghubungkan jalan utama dari Kuala Lumpur ke kawasan Meru, Kapar dan Rantau Panjang itu siap sepenuhnya April lalu dengan kos RM500,000.

“Bulatan ini menjadi kawasan angkat Pusat Pemborong GM Klang, pada Disember 2017.Kerjasama dengan pihak swasta ini bagi mengelakkan kawasan sunyi di sini daripada terus menjadi tempat tampal iklan haram dan lokasi melepak.

“Ia kini berubah wajah selepas landskap dinaik taraf dan menggunakan bunga rasmi Klang, iaitu Ruellia Brittoniana sebagai simbolik bandar berkenaan,”katanya ketika merasmikan Bulatan Seratus, di sini.

Beliau berkata, syarikat korporat lain patut mencontohi inisiatif dilaksanakan GM Klang dan juga Kedai Serbaneka 99 Speedmart yang mengikuti jejak langkah dengan mengambil Bulatan Barkeley sebagai kawasan angkat.

Mohamad Yasid berkata, Bulatan Seratus diserahkan kepada GM Klang dalam tempoh 10 tahun dan kos penyelengaraan kira-kira RM30,000 setahun akan ditanggung sepenuhnya syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pusat Pemborong GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, pihaknya berbesar hati mengambil kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat menerusi program tanggungjawab sosial korporat(CSR) syarikat.

“Terima kasih kepada MPK, kami yakin pengindahan bulatan ini selari dengan Bandar Klang yang kini salah satu destinasi pelancongan terkenal, sekali gus boleh menjadi imej terkini,” katanya.