$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Penduduk di Taman Bukit Bandaraya kini boleh menarik nafas lega apabila pihak pemaju, Lebar Daun Bhd memberi jaminan, kawasan perumahan itu selamat didiami.
Seorang penduduk, Mohamed Hafiz Mohamed Khatim, 33, berkata, empat keluarga yang sebelum ini diarahkan berpindah akibat gelinciran tanah di Jalan Gunung Nuang U11/9B dan Jalan Gunung Nuang U11/9C, sudah kembali ke rumah masing-masing, kelmarin.
“Mereka pulang ke rumah masing-masing setelah pemaju memberi jaminan kawasan ini selamat untuk didiami.
“Sepanjang seminggu ini, kawasan perumahan di sini dikawal 24 jam sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Mohamed Hafiz berkata, berdasarkan maklumat polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada takungan air dalam tanah akibat hujan berpanjangan, menyebabkan mendapan dan simen retak, sehingga berlaku gelinciran.
“Tindakan pantas pihak pemaju mengarahkan kerja membaik pulih kawasan dapat menghalang gelinciran daripada merebak ke kawasan lain,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamed Hafiz menggesa pihak terlibat supaya menyiasat kes itu dengan teliti dan mengambil tindakan proaktif agar insiden sama tidak berulang.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kerja penyelenggaraan sedang dilakukan dan difahamkan, kawasan itu akan disimen semula.
Buat masa ini, kanvas dipasang untuk menutup kawasan itu dan batu konkrit diletakkan di kaki bukit, mengelak risiko gelinciran.
Insiden gelinciran tanah itu berlaku 14 Februari lalu kira-kira jam 5.30 petang ketika hujan lebat.
Dalam perkembangan berasingan, tinjauan Sinar Harian di Jalan Plumbum 7/101A, Seksyen 7, di sini mendapati, enam rumah terjejas teruk akibat mendapan tanah itu akan mula dibaiki kontraktor hari ini.
Seorang eksekutif, Mohd Rozaiman Razali, 39, berkata, dia akan berpindah ke penempatan sementara di Hotel De Palma, di sini, yang disediakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sekiranya bahagian dalam rumahnya terlibat dalam kerja pembaikan itu.
“Saya difahamkan, ia tidak melibatkan kawasan dalam rumah. Bagaimanapun, jika diarahkan berpindah, saya terpaksa berbuat demikian,” katanya.
Mohd Rozaiman berkata, insiden mendapan itu bukan kali pertama berlaku di kawasan perumahan itu, sebaliknya, rumahnya antara enam kediaman yang pernah dibaiki akibat masalah sama pada 2006.





