SHAH ALAM - Bukan semua rakyat Selangor menerima manfaat daripada  Belanjawan Selangor dibentangkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana peruntukan yang ada, lebih kecil daripada Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata,  rakyat tidak boleh membandingkan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bajet disampaikan Mohamed Azmin.

“Kita kena faham peruntukan yang disediakan Kerajaan Selangor hanyalah RM3.12 bilion berbanding peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM280.25 bilion,” katanya kepada Sinar Online.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.12 bilion untuk belanjawan negeri itu bagi 2018.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus pembangunan.

Belanjawan itu dibentangkan oleh Mohamed Azmin ketika Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor yang Ke-13 2017 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, 3 November lalu.

Mengulas lanjut mengenainya, Manivannan berkata, Kerajaan Selangor masih  komited dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.

“Bermula tahun depan, kerajaan telah menambah lagi skim-skim baharu yang boleh membantu rakyat menangani kos sara hidup yang mencabar akhir ini.

“Skim terbaru seperti skim KISS (Kasih Ibu Smart Selangor) boleh membantu golongan yang disasarkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Kiss merupakan bantuan baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Selangor khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ibu di Selangor.

Pemberian bantuan itu merupakan sebahagian Inisiatif Peduli Rakyat yang akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri dengan implikasi kewangan RM72 juta.