SABAK BERNAM - Kira-kira 15 nelayan pesisir pantai terkandas lebih tiga jam di tengah laut, semalam, berikutan Pintu Air Parit 10 Pasir Panjang tidak dibuka sejak lima hari lalu.

Nelayan mendakwa, setiap kali air surut, kawasan jeti itu kering-kontang dan dipenuhi lumpur hingga menyebabkan bot fiber mereka terpaksa menunggu sehingga air pasang untuk memasuki muara sungai berkenaan.

Seorang nelayan, Nasir Sapari, 34, berkata, dia yang mula keluar ke laut sejak jam 7 pagi, semalam, hanya pulang ke rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari.

“Dulu, kalau air surut sekali pun, kami masih tetap boleh balik ke darat sebab pintu air dibuka, tapi sekarang terpaksa tunggu berjam-jam baru boleh balik ke rumah.

“Bayangkanlah kami terpaksa berlapar di tengah laut dalam keadaan cuaca panas. Biasanya kalau keadaan macam ni berlaku, kami akan matikan enjin bot dan tunggu hingga air pasang di muara sungai baru boleh balik ke rumah,” katanya.

Mohd Samsul Nizam, 28, berkata, dalam tempoh dua bulan ini sahaja, tiga kali enjin sangkut pada bot fibernya mengalami kerosakan.

“Macam mana enjin bot tak rosak kalau terlalu kerap redah lumpur. Bukan sengaja nak redah, tapi terpaksa sebab lama sangat nak tunggu air pasang.

“Sehingga kini, saya dah belanja ribuan ringgit untuk kos baik pulih enjin bot sahaja,” katanya.

Mohd Samsul turut membayangkan keselamatan nelayan boleh terancam jika enjin bot mereka tiba-tiba mengalami kerosakan di tengah laut.

“Bila enjin rosak, bot boleh hanyut... silap-silap, kalau angin kencang dan ombak kuat, bot pun boleh tenggelam.

“Selain itu, bila enjin mati kita risau bot besar boleh langgar bot kami terutama pada waktu malam,” katanya.

Shamsuddin Sapari, 50, berkata, nelayan hairan kerana pintu air kawasan itu tidak dibuka Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berbanding pintu air di kawasan berhampiran.

“Tempat lain yang tak ada jeti seperti di Sungai Leman pintu airnya dibuka pula, kenapa di sini sampai berhari-hari pintu air ditutup?

“Perkara ni berulang kali berlaku dan harap JPS ambil tindakan segera terhadap perkara ini,” katanya.

Seorang mekanik, Musri Juraimi, 37, berkata, sehingga kini, sebanyak enam aduan kerosakan enjin bot diterimanya sejak sebulan lalu.

“Enjin bot ni mudah panas bila bergerak dalam air lumpur. Kos baik pulih juga tinggi antara RM200 hingga ribuan ringgit bergantung kepada kerosakan enjin,” katanya.

Sinar Harian 30 Disember tahun lalu melaporkan, kira-kira 60 nelayan pesisir pantai di Pasir Panjang merungut berikutan kegagalan JPS membuka Pintu Air Parit 10 Pasir Panjang mengikut jadual hingga merumitkan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Penduduk mendakwa, pintu air yang berfungsi mengeluarkan air dari sawah jarang dibuka hingga menyebabkan muara sungai kering-kontang dan berlumpur setiap kali air surut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Semua nelayan terutama bot kecil dinasihatkan mematuhi aspek keselamatan dan tidak keluar ke laut menjelang musim tengkujuh.
  • KOTA BHARU - Bagi meringankan bebanan nelayan di Kampung Tanjong Kuala, Sabak, lebih RM60,000 diperuntukan untuk sumbangan lima set pukat lengkap dan jaket keselamatan kepada 40 nelayan yang memerlukan.
  • PONTIAN - Kerja-kerja menaik taraf kemudahan jeti di Kampung Sungai Durian akan meningkatkan pendapatan golongan nelayan tradisional di kawasan berkenaan.
  • GEORGETOWN - 20 nelayan warga Indonesia ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Daerah Maritim 2 Pulau Pinang dan lima bot turut disita.
  • KUALA SEPETANG - Seorang nelayan ditemui maut selepas terbelit tali pukat udang yang sedang dinaikkan di perairan Pulau Pasir Hitam, Kuala Sepetang, Ahad lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.