sesak
$entry.content.caption.value

SAUJANA UTAMA – Masalah kesesakan lalu lintas di laluan susur keluar ke Jalan Kuala Selangor, di sini sering menjadi rungutan penduduk apabila mereka terpaksa menempuh kesesakan lebih 20 minit untuk jarak 4 Kilometer (km) untuk ke Kuala Lumpur atau destinasi lain.

Lebih dikesalkan, kawasan jalan yang dibina bonggol dikatakan menjadi punca kenderaan perlahan ketika keluar ke lampu isyarat di laluan utama pada waktu puncak iaitu pada 6.30 pagi hingga 730 pagi sekali gus menimbulkan pelbagai aduan penduduk.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd Fakaruddin Ismail berkata, kesesakan lalu lintas di kawasan ini dilihat lebih meruncing dengan peningkatan 25,000 penduduk sejak tiga tahun lalu seiring dengan pembangunan bangunan premis perniagaan dan penempatan.

“Jadi, objektif utama pertemuan yang diadakan di sini adalah untuk mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang bersama wakil pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemaju dan penduduk.

“Dalam pertemuan ini juga wakil penduduk berpeluang untuk menyatakan pendapat dan masalah mereka kepada pihak yang berkaitan supaya isu kesesakan ini dapat dijawab dengan penjelasan konkrit,” katanya yang mempengerusikan Majlis Dialog Bersama Wakil Penduduk, Pemaju dan Pemimpin Setempat di Dewan Masjid Saujana Utama, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mariam Abd Rashid, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri A Wahab,wakil pemaju, Mohd Jemain Sakat dan Ketua Kampung Merbau Sempak, Anuar Abd Rahmah.

Wakil penduduk, Ali Salleh turut memberi cadangan supaya tempoh lampu hijau di lampu isyarat dapat dipanjangkan bagi memberi peluang penduduk dari Saujana Utama dapat keluar dengan selesa berbanding sebelum ini tempoh masa yang ditetapkan terlalu cepat.

“Sebelum ini, penduduk ada mengemukakan masalah yang sama, namun masih tiada perubahan. Jadi, jika jalan keluar dibuka kepada dua saluran mungkin dapat mengurangkan kesesakan selain bonggol yang ada berhampiran lampu isyarat diubah.

“jika tiada halangan pada laluan keluar, mungkin kesesakan dapat diatasi untuk tempoh jangka pendek dan meminta pegawai trafik dapat menjaga lalu lintas di laluan terbabit pada hari bekerja,” katanya yang memohon perkara ini dapat diatasi dengan kadar segera.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.