SHAH ALAM - Tindakan penduduk menghubungi bomba selepas terdengar bunyi anjing berlanjutan selama dua hari  berjaya menyelamatkan haiwan itu yang terjatuh ke dalam perigi buta sedalam lima meter, di Sungai Buloh, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.38 malam, anjing malang tersebut disedari terjatuh dalam perigi buta di Lorong Cempaka 2, Kampung Paya Jaras Hilir, di sini oleh penduduk berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin  Zulkifli berkata setiba di lokasi, anggota mendapati terdapat seekor anjing berada dalam perigi tersebut dan masih hidup.

"Operasi menyelamat diketuai Komander, Zairul Afzan Ishak berjaya keluarkan anjing tersebut guna tali yang diikat pada kayu untuk menjerut badan anjing sebelum dibawa naik ke atas.

"Anjing liar itu kemudian dilepaskan ke tempat selamat," katanya.

Muhammad Hazrin berkata, beliau berterima kasih kepada penduduk yang prihatin dengan kejadian menimpa haiwan tersebut.

"Pemanggil beritahu dia dengar bunyi suara anjing itu dah dua hari sebelum meminta anaknya mencari dari mana datangnya bunyi tersebut.

"Sebaik dapati haiwan itu berada dalam perigi yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah didiami, mereka terus hubungi pihak bomba untuk dapatkan bantuan," katanya.