GOMBAK - Kerja penyelenggaraan pembetung dilakukan di Batu 10, di sini, baru-baru ini dalam usaha menyelesaikan aduan banjir kilat yang berlaku di kawasan tersebut sejak lima bulan kebelakangan ini.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azizul Abu Bakar berkata, tindakan tersebut dibuat selepas lawatan tapak dilakukan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, wakil lebuh raya dan pemimpin setempat.

Menurutnya, pembersihan dilakukan pada pembetung sepanjang 20 meter terletak di bawah jalan Batu 10 itu.

“Hasil turun padang mencari penyelesaian banjir di kawasan itu, baru kita tahu terdapat pembetung yang digunakan untuk laluan air dari tiga arah iaitu kiri dan kanan Lebuhraya Karak serta longkang kampung.

“Sebelum ini jentera daripada MPS digunakan untuk kerja pembersihan tersebut, namun disebabkan peralatan terhad JKR melantik kontraktor khas untuk tugas tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan sampah yang terperangkap pada pembetung tersebut terdiri daripada daun kering.

“Enjin motosikal turut ditemui semasa kontraktor MPS menjalankan kerja pembersihan di peringkat awalnya. Namun kebanyakan sampah lain adalah terdiri daripada daun-daun kering.

“JKR ada jadual mereka sendiri untuk kerja pembersihan mereka, selain tindakan lain berdasarkan aduan. Harap usaha yang dijalankan ini dapat selesaikan aduan awam,” katanya.

Azizul berkata, kerja meratakan tanah di bahu jalan turut dilakukan sebagai usaha tambahan.

“Ia bagi mengatasi air bertakung. Banjir kilat tak lama tapi disebabkan berlaku takungan air ia membahayakan pengguna jalan terutama penunggang motosikal,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUTTERWORTH - Hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan dan rumah penduduk di sekitar Butterworth dilanda banjir kilat.
  • SEREMBAN - Penduduk di Kampung Pasir Puteh Batu 8, Labu, di sini semakin hilang sabar apabila masalah banjir kilat yang membelenggu mereka hampir 25 tahun itu, terus berlarutan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.