KLANG - Pesta makan-makan dikenali 'Street Food Festival' anjuran Klang City Rejuvenation (KCR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya menghimpunkan 55 peniaga makanan yang keseluruhannya berasal dari daerah ini.

Pesta makan-makan yang diadakan sehari di Jalan Stesen 1 itu merupakan salah satu platform bagi menarik kehadiran pelancong ke daerah ini bersempena Tahun Melawat Klang 2017.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pesta makan-makan ini adalah hasil kolabrasi KCR dan MPK yang merupakan kali pertama diadakan di sini.

"Lebih menarik apabila seramai 55 peniaga yang berasal dari Klang berjaya dikumpulkan dalam satu lokasi yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

"Mereka menjual pelbagai jenis makanan tempatan termasuk juga makanan Cina, Melayu, India serta makanan asing," katanya kepada pemberita.

Pada masa sama, menurutnya, pemilihan tempat juga menarik iaitu di lorong belakang Jalan Stesen yang agak sunyi dan kurang dilalui orang ramai.

"MPK dan KCR melihat pemilihan lokasi ini sangat unik sebagai usaha mempromosikan jalan berkenaan yang menyimpan sejarah tersendiri.

"Kita juga mahu memastikan kawasan belakang yang sebelum ini terbiar akan dibangunkan dan dijadikan kawasan yang mampu menarik perhatian dan kedatangan pelancong ke kawasan ini," katanya.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu program penting bagi MPK dalam usaha menarik pelancong tempatan dan luar untuk datang ke Klang bersempena Tahun Melawat Klang 2017.

"Berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada peniaga dan pengunjung, kita berhasrat untuk mengadakan lagi pesta sedemikian pada masa akan datang," katanya.

Pada Disember 2015, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengumumkan tahun 2017 diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang 2017 kerana daerah terbabit mempunyai pelbagai sejarah tersendiri.

Berikutan itu, MPK memperuntukkan lebih RM500,000 untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara.

Mohamad Yasid berkata, pihaknya gembira apabila sejumlah 20,000 pengunjung telah bertandang ke daerah ini setiap minggu dan ia mencapai sasaran yang ditetapkan.