KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas pelbagai barangan berjenama disyaki tiruan dalam serbuan di tiga buah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi, hasil maklumat dan risikan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Wan Mhd Yusof W Taib berkata, dalam serbuan ini, pihaknya telah merampas 235 buah beg, sembilan utas jam dan 12 tali pinggang membabitkan jenama terkenal.

“Dianggarkan kesemua barang ini bernilai RM5,880.

“Semua barangan tersebut disita untuk dibuat pengecaman oleh wakil cap dagang,” katanya.

Beliau berkata, seramai tiga pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an telah ditahan untuk pihaknya merekodkan percakapan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, dipercayai barangan tiruan ini diimport dari luar negara sebelum dipasarkan di kawasan terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.