BALAKONG –  Hujan lebat lebih sejam di ibu negara petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Balakong dilanda banjir kilat.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, pihaknya dimaklumkan hujan beberapa kawasan termasuk Pekan Batu11, Kampung Batu 11 Cheras dan Taman Indah dinaiki air pada jam 4 petang.

“Kira-kira 30 buah rumah terjejas, namun tiada pusat pemindahan dibuka kerana banjir mulai surut selepas tiga jam kemudian,” katanya.

Eddie berkata, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) berhadapan sebuah pusat membeli belah di sini turut banjir.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), mereka telah mengarahkan pemaju dan kontraktor yang melaksanakan kerja di kawasan sekitar ini untuk melakukan semakan tapak,” katanya.