KAJANG – Bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dicampak dari tingkat dua bangunan di Hentian Kajang, Kajang pada 24 Jun lalu, meninggal dunia, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di Hospital Kajang mengenai kematian bayi berkenaan pada jam 4.53 pagi.

“Punca kematian adalah hentakan kuat pada kepala mangsa, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bayi dicampak dari tingkat dua kini kritikal]

Beliau berkata, suspek yang juga ibu kandung mangsa berusia 22 tahun sudah dituduh di Mahkamah Seksyen Kajang pada 6 Julai lalu mengikut Seksyen 307 dan 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap bayi dan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi masih hidup.

“Bagaimanapun, kita akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membuat pindaan tuduhan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bayi lelaki berkenaan dipercayai dicampak oleh pekerja wanita warga Indonesia dari tingkap bilik air sebuah rumah di tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, di sini.

Bayi berkenaan terjatuh mengenai bumbung sebuah restoran sebelum ditemui orang awam di atas jalan berhampiran besi konkrit di belakang restoran berkenaan kira-kira jam 5 petang.