KUALA LANGAT - Perwakilan yang akan membawa usul dalam Persidangan Pemuda Umno Bahagian esok dinasihat membincangkan perkara berkaitan agenda pemulihan serta pemerkasaan semula parti Umno sahaja.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd Jaafar berkata, beliau mengingatkan perwakilan terutama pencadang, pembahas dan penyokong termasuk yang memberi ucapan penangguhan supaya berhemah dalam melontarkan kata-kata.

“Niat saya nak ingatkan kepada mereka yang minat beri ucapan supaya kena berhemah ketika melontarkan kata-kata dengan ambil kira status parti kini sebagai pembangkang kepada kerajaan Malaysia Baharu.

“Saya yakin setiap usul mahupun cadangan perwakilan akan diminit dan diangkat ke atas sewajarnya. Namun demikian kita tidak lagi boleh mengangkat isu-isu rakyat yang berkaitan dengan dasar baharu kerajaan Persekutuan yang kini diterajui Pakatan Harapan. Dalam hal ini, saya kira setiap usul atau cadangan yang diminitkan akan dibincangkan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau pentadbiran eksekutif Umno sahaja,” katanya.

Beliau berkata, jika sebelum ini menjadi tradisi Umno akan mengangkat usul bagi dipanjangkan kepada kerajaan persekutuan, hakikat perlu disedari perwakilan adalah tidak lagi boleh mengusulkan kepada kerajaan Malaysia Baharu.

“Dulu kita bawa usul contohnya; isu pendidikan kepada Kementerian Pendidikan atau isu harga barangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi desak dan diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan melalui kementerian.

“Sekarang perwakilan perlu sedar kita tak boleh usulkan kepada kerajaan Malaysia baaru. Saya nasihat perwakilan hanya bawa usul atau bincangkan perkara berkait agenda pemulihan serta pemerkasaan semula parti Umno saja,” katanya.

Beliau sebelum itu berkata, dalam masa kurang 24 jam yang ada tidak berniat untuk berkempen terbuka melainkan menaruh seluruh kepercayaan kepada perwakilan bagi memilih calon-calon yang di yakini mampu mengukuhkan Umno.