KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu stor menyimpan kasut dan pakaian tiruan jenama Adidas di Taman PUG Parklane, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Low Swee Hon, berkata operasi kira-kira jam 12.45 tengah hari diketuai Ketua Unit Perihal Dagangan, Ahmad Wildan Mat Hussin.

Menurutnya, pemeriksaan telah menyita 2,800 pasang kasut, 140 helai T-shirt dan 340 helai seluar dianggarkan bernilai RM584,000.

"Siasatan mendapati stor ini telah beroperasi sejak Julai lalu.

"Barangan ini dipercayai dijual di ruang legar di beberapa pusat membeli-belah terkenal dalam tempoh beberapa hari dan kerap bertukar-tukar lokasi," katanya.

Beliau berkata, bagi mengaburi pengguna, barangan ini dijual dengan harga seperti barangan original selain menawarkan diskaun yang tinggi bagi membuktikan ia kononnya bukan barang tiruan.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu utama terlibat dalam kes ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011.