AMPANG – Persatuan Penduduk Taman Melawati Zon A, B dan C akan menghantar petisyen serta dokumen berhubung bantahan cadangan projek pembinaan sebuah pusat konvensyen di sini, kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusinya, Razman Hakimi Mohammad berkata, pihaknya juga telah mengumpul lebih 2,900 tandatangan orang ramai yang membantah cadangan pembinaan itu.

“Petisyen dan dokumen itu juga akan diserahkan kepada pemaju dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” katanya.

Razman berkata, penduduk mendakwa, pada awalnya ada cadangan untuk membina sebuah taman rekreasi di tapak berkeluasan 1.36 hektar itu, namun ia dipercayai ditukar kepada pembinaan pusat konvensyen tanpa pengetahuan penduduk.

“Pada lima tahun lalu, penduduk telah bersetuju untuk pembinaan sebuah taman rekreasi dan mengekalkan kawasan hijau menerusi public hearing serta mesyuarat dengan pemaju dan MPAJ.

“Namun, pada 18 Mei lalu, kami telah dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat dengan MPAJ untuk mendengar perubahan pelan oleh pemaju untuk menggantikan pembinaan pusat konvensyen daripada taman rekreasi,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya telah mengarahkan MPAJ untuk mengadakan perbincangan berhubung isu yang dibangkitkan penduduk.

“Saya harap taman rekreasi akan dikekalkan di tapak itu, MPAJ harus berjumpa dengan penduduk supaya tidak terjadi percanggahan bagi memudahkan komunikasi antara dua pihak.

“Kita mahu taman rekreasi dibangunkan di tapak itu, malah saya sanggup korbankan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak yang berada di tapak itu untuk pembangunan taman rekreasi itu,” katanya.