MERU - Sebanyak 30 rumah penduduk di Taman Daya Meru, di sini, dinaiki air akibat banjir kilat selepas hujan lebat, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku dipercayai berikutan air longkang yang melimpah masuk ke dalam rumah penduduk perumahan berkenaan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Bomba Kanan II Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 6 petang selepas rumah di perumahan itu dinaiki air setinggi paras lutut.

“Paras air setinggi 100 hingga 300 meter direkodkan selepas hujan lebat beberapa jam. Malah, paras air di Sungai Kapar Kecil tinggi akibat taburan hujan dan fenomena air pasang tinggi minggu lalu.

“Rumah dinaiki air termasuklah di Jalan Kenangan, Kampung Hj Sharif, Jalan Cempaka, Jalan Teratai serta kawasan perindustrian berhampiran dan lima mangsa daripada satu keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Orang Ramai MPK Meru,” katanya, hari ini.

Menurutnya, bomba akan terus membuat pemantauan dan maklumat terkini akan disalurkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.