PETALING JAYA -  Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing,  di sini,  terbakar kira-kira jam 11.56 pagi tadi.

Kepulan asap dilihat memenuhi hampir  separuh daripada bangunan tersebut.

Berdasarkan video dirakam pengguna yang melalui kawasan tersebut mendapati api sedang marak dan terdapat serpihan bangunan dilihat runtuh.

Bagaimanapun,  maklumat lanjut berhubung kejadian sama ada melibatkan kemalangan jiwa masih belum diketahui.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri mengesahkan kejadian yang berlaku.

Menurutnya,  bomba menerima maklumat jam 11.53 pagi dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Katanya,  sebanyak lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya, Damansara,  Pelabuhan Klang,  Hang Tuah dan Pantai dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

"Ketika bomba tiba api sedang marak membakar hampir 40 peratus bangunan KWSP setinggi enam tingkat.

"Setakat ini,  kita belum dapat sahkan sama ada kejadian ada melibatkan mangsa atau tidak, " katanya.

Katanya,  sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :