SEBELUM tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Shah Alam, Bandar Diraja Klang adalah ibu negeri Selangor, bagaimanapun selepas beberapa ketika, bandar berkenaan kembali menyinar apabila makin terkenal dengan aktiviti pelancongannya.

Dari segi pelancongan makanan, sejarah dan budaya tersendiri yang berbilang bangsa dan suku kaum ia semakin menjadi sebutan kalangan masyarakat, malahan ia menjadi lubuk hujung minggu istirahat bersama keluarga.

Maka tidak seharusnya dipertikaikan lagi apabila bandar dengan penuh keunikan ini diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang 2017.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, setakat Julai lalu, hampir lima juta pengunjung direkodkan hadir ke daerah itu sempena Tahun Melawat Klang 2017.

Pelancaran Heritage Walk

“Heritage Walk, Muzium Diraja dan Guan Yin Temple merupakan antara tarikan yang menyumbang kepada pertambahan pelancong.

“Mengikut data yang direkodkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mencatatkan 5,600 pengunjung, gedung perniagaan borong GM Klang (1.3 juta) dan Bousted Cruise Centre (130,000).

“Malahan, Pulau Ketam pula mencatatkan seramai 2 juta pengunjung, City Heritage Tour (1.3 juta) dan Istana Alam Shah seramai 3,500 pengunjung,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, pencapaian Tahun Melawat Klang 2017 itu disifatkan berjaya ekoran jumlah kedatangan pengunjung mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Kebanjiran pelancong sempena Tahun Melawat Klang 2017 amat memberangsangkan. Kita juga menubuhkan satu pasukan iaitu Ahli Jawatankuasa Kecil Pelancongan bagi membantu menjana lagi kedatangan orang luar ke sini,” katanya.

Dalam masa sama, MPK selaku pihak berkuasa tempatan juga tidak pernah mengetepikan kelestarian alam sekitar dan ia dipelihara waima pembangunan dan kehadiran pelancong yang ramai.

Yasid berkata, peningkatan tahap kebersihan dan hasil pemuliharaan Sungai Klang juga memainkan peranan terpenting dalam usaha mempromosikan Klang sebagai produk pelancongan.

“Kedatangan pelancong meningkat apabila Klang kini menawarkan suasana lebih menarik dan bersih termasuk Sungai Klang sendiri.

“MPK telah melaksanakan beberapa program sepanjang tahun ini, antaranya Royal Klang Town Heritage Walk, Jom Berkelah, ‘We Love Klang Treasure Hunt’, lawatan ke Pulau Ketam, pertandingan memancing selak tirai, Klang Arts Festival, pertandingan fotografi Jambatan Kota, kayuhan basikal klasik dan ‘We Love Klang Food Festival’,” katanya.

Kenapa Bandar Diraja

Sesuai dengan nama Bandar Diraja Klang, pelancong semestinya melawat Istana Alam Shah merupakan istana rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia adalah tempat baginda menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai sultan dan adat istiadat yang melibatkan di Raja Selangor dilangsungkan.

Istana Alam Shah

Istana Alam Shah mempunyai 15 bilik, direka menggunakan kayu dan batu marmar dibina pada 1905 semasa pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor ke lima.

Baginda telah bersemayam di istana berkenaan selama 35 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1938.

Di sini juga Sultan Selangor ke lapan, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dilahirkan.

Pusat pemborong di Asia Tenggara

Klang juga terkenal dengan  pusat pemborong terbesar di Asia Tenggara, GM Klang. Ini antara faktor juga menarik pelancong ke bandar ini.

Boleh dikatakan mereka yang menjalankan perniagaan barangan dari China menjadikan lokasi enam tingkat ini sebagai tempat memborong hasil perniagaan.

Gedung perniagaan borong GM Klang

Pekerja swasta, Zailani Rahman berkata, lokasi berkenaan amat sesuai bagi mereka yang menjalankan perniagaan bagi mendapatkan stok kerana kebanyakannya dijual secara pukal.

“Kalau beli dalam kuantiti sedikit, harga agak berbeza, tetapi lebih murah daripada pasaran luar.

“Jadi pengguna masih berpeluang mendapatkan barang dengan harga yang rendah, mungkin boleh dikatakan setiap masa pelanggan sentiasa ramai,” katanya yang pertama kali berkunjung ke GM Klang bersama keluarganya.

Sejarah kerabat diraja

Apabila di Klang, jangan pengunjung jangan juga lupa melawat Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang mempamerkan pelbagai koleksi DiRaja Selangor.

Sebahagian besar daripada pameran Galeri Diraja berkisar mengenai riwayat hidup Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang telah memerintah Selangor selama lebih 39 tahun sebagai Sultan Selangor ke lapan lapan dan hampir tiga tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11.

Galeri ini wujud hasil dari buah fikiran baginda, Sultan Salahuddin sendiri dan terletak dalam kawasan istana di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (kini Kampung Jawa).

Dahulunya dikenali sebagai Muzium Kenangan, dibina pada tahun 1988 dan dibiayai sepenuhnya baginda dan pada 1996, kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan agar premis ini dapat dibuka kepada rakyat jelata.

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

Pada tahun 1998, baginda telah berkenan menukar nama Muzium Kenangan kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mengambil sempena nama kelahiran baginda.

Dengan sokongan kerajaan negeri, Galeri Diraja siap diubah suai dan dibuka kepada umum pada tahun 2000.

Setahun kemudian, baginda telah mangkat lalu Galeri Diraja telah ditutup buat sementara.

Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah menaiki takhta pada 2001, baginda telah menitahkan agar inisiatif almarhum ayahanda baginda diteruskan dan menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman, bangunan yang dibina pada tahun 1909, dijadikan lokasi Galeri Diraja baharu.

Anda suka makanan?

Sementara itu, bagi peminat makanan laut, Muara Ikan Bakar yang menjanjikan suasana tepi pantai yang semestinya tidak mengecewakan.

Malahan jika mahu suasana klasik pula, semestinya anda perlu singgah ke KUKUS, Jalan Tepi Sungai 6, Klang.

Pasti anda akan teringat dengan filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, kalau tak percaya, singgah sekali!

Kedai klasik berkenaan dibuka antara jam 10 pagi hingga 10 malam.

Dalam masa sama, jangan lupa juga dengan lontong Dewan Melayu Klang, di Kampung Jawa. Rasanya nikmat rasanya, ummmhhh…

Dan… jangan lupa rojak Klang yang cukup popular di Jalan Melayu, ada beberapa gerai yang boleh anda buat pilihan.

Jadi tunggu apa lagi, jom bawa keluarga ke Klang.