SABAK BERNAM- Fenomena air pasang besar kelmarin, mengakibatkan ban laut di Tebuk Mendeling, di sini, rebak, namun masih terkawal.

Tinjauan penduduk pada jam 5 petang ke lokasi kejadian sewaktu air pasang besar mendapati ban itu rebak  sepanjang kira-kira 20  meter.

Seorang penduduk, Mohd Asyraf Mohamed Noh, 33, berkata, dia bimbang jika ban terbabit mengalami rebak serius.

"Kita risau ban ini runtuh sepenuhnya semasa air pasang kerana dijangka paras air pasang pada sebelah pagi lebih tinggi daripada paras air pasang pada sebelah petang," katanya.

Mohd Asyraf berkata, jika ban pecah, sudah tentu air laut melimpah masuk ke kawasan kampung dan risiko banjir meningkat.

"Situasi ini bertambah teruk jika berlaku cuaca buruk seperti hujan dan ribut yang menyebabkan ombak laut lebih besar.

Menurutnya, kejadian ban rebak bukan isu baru kerana saban tahun penduduk sekitar kampung hidup dalam kebimbangan.

"Jika ban tak dapat diselenggara dengan betul dan kemudian pecah menyebabkan banjir yang melibatkan kerosakan harta benda.

"Kami juga risau jika penda­patan kami terjejas terutama yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian.

Justeru, katanya, pihak berkai­tan diharap mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Sebelum ini, ban di Tebuk Mendeling pernah runtuh sepanjang 80 meter berikutan fenomena air pasang besar pada November 2017.

Bagaimanapun ban itu telah dibaiki sebelum didapati rebak semula dalam kejadian petang kelmarin.

Tebuk Mendeling merupakan salah satu daripada 17 kawasan berisiko fenomena air pasang besar di daerah ini.Ban yang berfungsi sebagai benteng menahan hakisan laut rebak sepanjang kira-kira 20 meter.                   

Bagi penyele­saian jangka panjang, dica­dangkan pembinaan ban baru di kawasan itu.