SHAH ALAM - Bajet Negeri Selangor yang dibentangkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan kerajaan negeri mementingkan ilmu sebagai teras kepada masyarakat.

Sejumlah RM8.65 juta diumumkan Mohamed Azmin untuk menaik taraf tiga buah perpustakaan daerah dan satu perpustakaan desa bernilai RM8 juta, membina perpustakaan desa baru RM 450,000 dan melengkapkan koleksi sebanyak RM200,000.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, peruntukan ini memberikan impak lebih besar kepada institusi pendidikan di samping menggalakkan lagi para pengunjung untuk datang ke perpustakaan.

“Tentunya berita gembira ini akan menjadi galakan kepada perkembangan ilmu di Selangor.

“Kerajaan Negeri juga jelas mementingkan ilmu apabila sebanyak RM181,975,020 diperuntukkan untuk memperkasakan institusi pendidikan di Negeri Selangor. Malah peruntukan untuk pendidikan tinggi juga ditingkatkan kepada RM101.73 juta berbanding RM28.5 juta sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kakitangan awam juga diberikan suntikan semangat apabila bantuan khas kewangan sebanyak tiga bulan gaji dibayar pada 21 Disember 2017.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan  negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan begitu prihatin terhadap nasib penjawat awam kerana penjawat awam adalah teras kemakmuran sesebuah negeri.

“Saya yakin rakyat negeri Selangor berterima kasih dan bersyukur atas kemakmuran negeri dan pemerintahan yang adil dari Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.