KLANG -  Sebanyak 30 keluarga di Kampung Sungai Sireh Tambahan di sini  memohon kerajaan negeri menyelesaikan masalah pemilikan  tanah yang diduduki mereka di kawasan tanah rizab Keretapi Tanah Melayu  Berhad (KTMB).

Ketua penerangan persatuan penduduk kampung itu Aladin Sutan Khan berkata, kesemua keluarga terbabit, yang sudah menduduki kawasan itu sejak 20 hingga 30 tahun lalu bimbang apabila dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa nama mereka tiada dalam senarai penerima geran tanah yang bakal diumumkan hujung bulan ini.

“Difahamkan daripada 114 keluarga peneroka asal tanah ini, hanya 84 keluarga yang akan menerima  geran,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perhimpunan aman bersama kira-kira 50 penduduk kampung itu di sini hari ini, bagi menarik perhatian kerajaan Selangor berhubung nasib mereka.

Beliau meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatasi perkara itu secara adil kerana pada 2012, menteri besar ketika itu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memberikan notis 5A iaitu surat hak milik tanah kepada kesemua 114 keluarga terlibat.

Katanya,  namun di bawah kepimpinan Mohamed Azmin, tidak semua permohonan penghuni asal kampung itu diterima.

“Awal bulan ini, pihak kami ada mengajukan soalan berkenaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang tetapi telah diarahkan untuk merujuk kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Selat Klang Dr Halimah Ali.

Sampai hari ini beliau (Halimah) tidak memberi  apa-apa jawapan atau penjelasan,” katanya yang berharap isu itu tidak menjadi bahan politik sehingga membebankan penduduk.- Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :