SHAH ALAM - Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Penolong Superitendan Azman Shari'at dilantik sebagai Ketua JSPT Selangor berkuat kuasa, hari ini.

Beliau menggantikan pemangku Ketua JSPT Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin yang kembali ke jawatannya sebelum ini sebagai timbalan jabatan tersebut.

Mengulas mengenai pelantikannya, Azman berkata, beliau kini menggalas tugas yang lebih besar memandangkan Selangor merupakan antara negeri penyumbang terbesar kepada kes kemalangan jalan raya.

"Jadi tanggungjawab ini amat besar buat saya kerana pasukan kami perlu berusaha untuk menurunkan kadar kemalangan di negeri ini," katanya sewaktu berucap selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSPT Selangor yang berlangsung di IPK Selangor, hari ini.

Selain itu, Azman yang sudah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih kurang 27 tahun itu turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan kesinambungan yang dibawa oleh Sahimi bagi memantapkan sistem trafik dan penguatkuasaan di Selangor.

Tambah beliau, pihaknya bersama-sama pasukan JSJT akan bersatu padu bagi bersama-sama membawa misi dan visi PDRM.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya turut mengingatkan seluruh warga JSJT agar terus komited dalam tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

"Anggota di semua peringkat perlu bekerja dengan lebih keras bagi meyakinkan rakyat dengan keupayaan dan kewibawaan pasukan JSJT," katanya.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Mazlan berkata, pihaknya yakin dengan pengalaman Azman untuk menerajui JSJT serta meneruskan kesinambungan jabatan tersebut.

"Saya percaya dengan pengalaman dimiliki Azman, beliau akan dapat teruskan kesinambungan di jabatan ini untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat khususnya di Selangor," katanya.