SHAH ALAM - Seorang pemuda yang terlibat dalam kemalangan motosikal setelah terlanggar kipas plastik yang tertera logo Bersatu bersyukur kerana masalah yang dihadapinya mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pemuda terbabit, Mohamad Azezul Mohd. Omar, 18, menyatakan, beliau sendiri tidak menyangka Perdana Menteri mengambil berat terhadap nasib beliau selepas berkongsi mengenai kejadian yang menimpanya itu menerusi akaun Twitternya, 15 September lalu.  

Malah, beliau yang berasal dari Masai, Johor itu cukup terharu apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya sendiri tampil menyampaikan bantuan segera bagi meringankan bebannya dalam satu pertemuan di sini malam semalam.

"Saya amat terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib saya. Begitu juga kesungguhan Setiausaha Politik Perdana Menteri (Abu Bakar) yang mewakili Tun Dr. Mahathir segera tampil menghulurkan bantuan kepada saya.

"Saya tidak sangka, Perdana Menteri yang mempunyai tanggungjawab besar dan sibuk dalam menguruskan negara mampu mengambil berat serta prihatin terhadap nasib pemuda seperti saya ini," kata pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Putrajaya.

Tambah Mohamad Azezul, akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan ringan, bengkak kaki kiri manakala motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggainya mengalami sedikit kerosakan dalam kejadian minggu lalu selepas terjatuh di Bulatan Pesiaran Kayangan, di sini Sabtu lalu

Mohamad Azezul mengikuti pengajian tahun pertama dalam bidang Asas Sains Komputer dan Kejuruteraan di Universiti Malaysia di Putrajaya manakala beliau bekerja sambilan sebagai penghantar makanan dan restoran dalam tempoh cuti semester.

Sebelum ini Mohamed Azezul  memuat naik ke Twitternya @Vzezul motosikal ditungganginya tergelicir ketika melalui jalan bertaburan kipas plastik tertera perkataan “ulang tahun kedua PPBM”.

Hantaran itu dibalas akaun Twitter rasmi milik Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu meminta laman rasmi parti melihat perkara itu dan menghubungi Mohamad Azezul.