• kejadian kebakaran MRSM Kuala Kubu Bharu kejadian kebakaran MRSM Kuala Kubu Bharu
1 /

HULU SELANGOR - Sekumpulan pelajar  asrama  lelaki  Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini berdepan detik cemas apabila sebuah bilik di tingkat tiga Blok K maktab terbabit terbakar malam kelmarin.

Mereka yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga pada awalnya berusaha sendiri memadam kebakaran itu menggunakan air daripada bilik mandi.

Bagaimanapun, angin kuat ditambah struktur bumbung bangunan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak pantas.

“Mulanya pelajar cuba padam sendiri api itu dan masing-masing guna baldi ambil air dari tandas.

“Tapi bila tengok api sudah membakar bumbung, saya arahkan pelajar turun segera selamatkan diri dulu,” kata kakitangan maktab tersebut ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian yang dipercayai berlaku antara jam 9.20 dan 9.30 malam itu tidak dapat dipadamkan dan memaksa mereka menghubungi bomba.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan pelajar sedang mengulangkaji pelajaran di dalam kelas manakala segelintir berada di bilik terbabit.

Cemas dengar bilik terbakar

Pelajar, Mohd Nazim Mohd Romzi, 15, berkata, pada awalnya dia menyangka maklumat daripada rakannya hanya gurauan, namun cemas apabila mendapati keadaan sebenar berlaku.

Menurutnya, mereka cuba melihat keadaan tersebut tetapi untuk keselamatan semua pelajar ditempatkan di surau sebagai tempat pemindahan sementara.

“Panik juga bila dengar asrama terbakar sebab tak pernah berdepan situasi begini sebelum ni.

“Nasib baik bilik kami tak terbakar tapi bilik tingkat tiga kebanyakan almari, katil semua rentung,”  katanya.

Mohd Nazim mengakui persiapannya untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan depan sedikit terjejas, namun reda dengan segala yang berlaku.

Difahamkan, kesemua pelajar tingkatan lima yang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam tetap terus dijalankan seperti biasa walaupun musibah itu menimpa pelajar maktab terbabit.

Punca kejadian masih dalam siasatan

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Hulu Selangor, Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian tersebut tetapi siasatan awal mendapati api bermula di tingkat tiga bangunan Blok K asrama terbabit.

Menurutnya, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut dalam tempoh sejam dengan bantuan lima jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KKB, Akademi BBP Hulu Selangor, BBP Rawang, BBP
Selayang dan BBP Tanjung Malim, Perak.

“Bantuan jentera Magirus Turntable Ladders (TTL) daripada BBP Selayang dan empat jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) digunakan untuk memadam kebakaran.

“Secara keseluruhan, 10 bilik asrama terlibat membabitkan kira-kira 40 pelajar dan kesemua 422 pelajar terselamat serta dipindahkan ke tempat pemindahan sementara,” katanya.

Timbalan Penguasa Bomba Zon Hulu Selangor, Yahya Mohd Sham turut berada di tempat kejadian.

Noor Azhar berkata, bomba mengambil tempoh dua minggu untuk menyiasat punca sebenar kejadian itu.

KPTM lancar derma kilat

Sementara itu, Pengerusi Kolej Poly Tech Mara, Datuk Sohaimi Shahadan ketika melawat tempat kejadian semalam turut melancarkan Tabung Prihatin Bencana Alam MRSM KKB untuk membantu mangsa terlibat.

Menurutnya, kutipan akan dibuat daripada sembilan kampus KPTM seluruh negara dan akan diumumkan pada majlis rumah terbuka KPTM, 13 September ini.

“Kita simpati dengan nasib pelajar yang sedang hadapi percubaan dan bakal menduduki PMR bulan depan.

“Justeru, kita ambil tindakan serta merta melancarkan derma kilat,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan; Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor, Mahmud Karim.

Malam kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar dan Adun Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim turut melawat pelajar terbabit bersama Pegawai Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Hulu Selangor, Maznah Othman.

Libatkan tingkat tiga asrama lelaki

Kebakaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baharu, Selangor malam tadi hanya melibatkan tingkat tiga bangunan blok Asrama Putera (Lelaki).

Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ketika kejadian pada kira-kira 9.30 malam asrama itu kosong kerana pelajar keluar untuk mengikuti latihan tambahan.

“Kebakaran itu melibatkan 10 bilik iaitu sebahagian asrama yang terbakar... cuma tingkat atas satu blok yang terbakar. Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

“Keadaan adalah terkawal dan pihak bomba kini sedang menyiasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas Majlis Salam Aidilfitri Mara di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Beranang, semalam.

Katanya, pihaknya sedang membuat perancangan untuk memindahkan 430 pelajar terlibat ke kem PLKN berhampiran.

Katanya, malam kelmarin pelajar terbabit tidur di surau dan setakat ini kejadian itu tidak menjejaskan pelajaran pelajar terbabit.

“Walaupun pelajar ada ujian tapi tiada masalah besar untuk mereka meneruskan pelajaran,” katanya.