KUALA LANGAT - Jangan pelik apabila sukan ekstrem luncur udara atau paragliding juga mampu menjana pendapatan negara.

Sukan ini sememangnya menjadi tarikan unik di Bukit Jugra apabila disenaraikan sebagai pelancongan sukan ekstrem.

Jika sebelum ini pengunjung Bukit Jugra sanggup meredah ketinggian 146 meter dari paras laut hanya untuk melihat tinggalan sejarah serta menikmati keindahan panorama indah, kini mereka mampu mendapat lebih kepuasan.

Aktiviti paragliding ini boleh didapati bersama pakej bersukan sambil melancong.

Diakui juara dunia

Kakitangan Bahagian Korporat Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Norhisham Othman berkata, paragliding di Bukit Jugra semakin popular kerana anginnya dikatakan sangat sesuai untuk  aktiviti.

Beliau berkata, angin di Jugra sangat mencabar bagi yang pernah meluncur di ruang udaranya.

"Juara dunia paragliding dari Indonesia, Kolonel Dr Elisa Manueke yang pernah beraksi di sini tahun lalu turut mengakui  angin di sini sebagai luar biasa.

"Katanya, siapa yang mampu tewaskan angin di Jugra, dia bakal juara. Jadi, ini adalah tarikan sebenar kerana menjadi tumpuan paragliders dari seluruh dunia," katanya.

Norhisham turut memberitahu penggiat sukan terbabit yang ingin ke Jugra perlu benar-benar berpengalaman dan berani.

Norhisham berkata, paling penting orang ramai yang tidak mempunyai asas dalam paragliding,  perlu mempunyai kesihatan yang baik bagi memastikan aktiviti penerbangan tandem mereka berjalan lancar.

"Mereka hanya perlu dengar arahan 'pilot' bertauliah yang akan membawa mereka meluncur udara.

Biasanya aktiviti ini dilakukan pada Sabtu atau Ahad dan mereka  perlu membuat tempahan awal supaya dapat membuat persediaan," katanya.

Menurutnya, kos yang dikenakan RM200 ke RM250 bagi sewaan peralatan.

Beliau memberitahu, sekurang-kurangnya 30 peserta boleh melakukan aktiviti paragliding.

Bukan calang-calang lokasi

Selain itu katanya, Bukit Jugra juga sering terbabit penganjuran kejohanan antarabangsa serta Piala Dunia Jugra untuk sukan paragliding ini.

Menurutnya, penganjuran kejohanan terbaik pernah diadakan pada 2009 dan buat pertama kali, MDKL dan Malaysia khususnya Bukit Jugra diberi hak penganjuran Piala Dunia Jugra dan disertai kira-kira 25 negara membabitkan 50 paragliders atau juruterbang bertauliah seluruh dunia.

Norhisham berkata,  bagi kejohanan antarabangsa lain, minimum lapan negara akan sertai dan dengan kedatangan mereka sangat menyumbang dalam aspek  pelancongan di Selangor termasuk perhotelan dan makanan.

"Mereka ambil gambar dari sudut ruang udara ketika melakukan paragliding dan kemudian apabila pulang ke negara asal mereka, kesemua gambar itu akan dimuat naik di Facebook, Instagram, page atau blog.

"Juateru, Bukit Jugra terkenal di serata dunia sebagai lokasi paragliding yang wajib dicuba...Semakin hari dan boleh dikatakan setiap minggu menjadi pilihan orang ramai khususnya paragliders terlatih dari luar negara antaranya Singapura dan Korea," katanya.

Pihaknya juga berharap Jugra International Paragliding Accuracy Championship 2019 yang akan diadakan tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 bakal memberi impak lebih besar dalam industri pelancongan Selangor.

Rancang pelbagai program

Menerusi Jugra International Paragliding Accuracy Championship 2019, kata Nor Hisham, beliau positif pelbagai perancangan yang sudah diatur pihaknya dengan kerjasama Tourism Selangor akan menyemarakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, selain paragliders yang datang bertanding, MDKL bersama Tourism Selangor merancang membawa peserta ini 'pusing-pusing' Kuala Langat.

"Kita ambil peluang ini untuk bawa mereka nikmati keindahan serta keistimewaan lokasi yang ada di Kuala Langat...Selain bersukan mereka boleh meneroka lokasi lain antaranya sehingga ke Pulau Carey, Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Muzium Insitu, Masjid Bandar, Istana Alaeddin, Ladang Teh Boh Sri Cheeding dan lain-lain.

"Gerai-gerai makan di sekitar kampung serta industri makanan seperti kerepek juga antara yang kita nak perkenalkan kepada mereka dan kesemua ini pasti akan memberi kesan yang baik khususnya kepada penduduk sekitar Bukit Jugra.

"Sebab itu matlamat kita untuk tidak menumpukan kepada sukan ekstrem semata tapi sebaliknya menajdikan Bukit Jugra ini sebagai pelancongan sukan iaitu mereka yang datang sambil bersukan mereka turut melancong," katanya.